60 Tahun : Syabas PAS Kerana Terus Mempertahankan Islam

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi bin Hj. Salleh mengucapkan syabas kepada kepimpinan PAS kerana terus mempertahankan prinsip perjuangan Islam dalam semangat toleransi Islam di negara ini sejak tertubuhnya parti itu 60 tahun yang lalu.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini politik tanahair yang menyaksikan PAS terus unggul jauh mendahului Umno dalam membela isu-isu Islam di Malaysia. Isu yang terkini ialah berkenaan perlaksanaan enakmen Syariah Hudud yang berakhir dengan persetujuan pihak anggota Parti Pakatan Rakyat memperakui enakmen Undang-undang Hudud Kelantan dan Terengganu dalam semangat meraikan perbezaan pandangan sesama anggota pakatan.

“Dewan Ulamak PAS Pusat ingin merakamkan ucapan syabas kepada Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden yang memimpin PAS selama ini atas usaha yang tidak putus-putus memperkenalkan Islam sehinggakan Undang-Undang Syariah Islam terutamanya Hudud dikenali di Malaysia bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan juga turut dikenali oleh bukan Islam, bahkan kita juga mendapati terdapat sebahagian daripada mereka turut menyokong perlaksanaan hudud” tambah beliau lagi.

“Kita berharap seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam agar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha murni PAS ini, kami percaya bahawa pendirian yang konsisten dan tegas PAS ini dalam mempertahankan prinsip Islam akan terus mendapat sokongan dan dokongan seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam”ujar beliau lagi.