Blogger, pengamal media baru jangan lempar fitnah

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.

"Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah.

"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah," jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.

Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah.


Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan niat.

"Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya penyebaran fitnah yang tidak berhemah.

"Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar fitnah di dalam dunia media baru.

"Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta menarik minat pembaca," sambungnya lagi.

Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.

"Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap pembaca.
"Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu," tambah Nik Aziz lagi.

Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara.

"Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua," katanya.
Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan maklumat di semua peringkat.

Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

Antara COUPLE Dan ROKOK ?

Bismillahirrahmanirrahim,

Salam hormat kepada pengunjung blog peribadi ana, sekian lama blog ini bersawang dan hanya dihiasi dengan artikel ''COPY N PASTE' , kali ini disusuli dengan hasi gabungan karya ustaz cinta dan fatwa dari Majlis Muzakkarah Fatwa Malaysia.


.:: Haramnya COUPLE ::.

Ramai remaja membuat alasan bahawa couple itu tidak haram kerana tiada nas yang melarang padanya. Betulkah tiada nas? Bahkan terlalu banyak nas al-Quran dan hadis menjelaskan tentang percintaan teruna dan dara atau couple in HARAM secara terang. Hanya orang-orang JAHIL & FASIQ sahaja yang berani mempermainkan hukum Allah. Hanya orang-orang munafiq sahaja yang buat-buat tidak tahu terhadap kewujudan larangan Allah. Bagi seorang muslim, dia wajib mengetahui perkara ini.

1) COUPLE ITU HARAM KERANA BERLAKU ZINA MATA DAN PENYALAHGUNAAN PANCA INDERA

ALLAH Berfirman :

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. (Surah An-Nuur : Ayat 30)

Maksdunya, dilarang lelaki melihat bahagian tubuh wanita melainkan wajah dan telapak tangan. Kerana bahagian lain adalah aurat. Jika bercouple, pasti akan berlaku perbuatan MENATAP bahagian dada, pinggang dan lainnya. Apatah lagi jika perempuan bercouple ini memakai baju ketat. Maka akan berlaku zina mata sepanjang pertemuan. Sangat jarang perempuan bercouple pakai tudung labuh dan berjubah. Pendek kata, kalau yang bercouple ini biasanya memang tidak menjaga aurat. Maka, HARAM pertemuan itu.

Ini beberapa hadis yang menceritakan dosa mata :

Nabi Bersabda “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi anak Adam mendapat bagian dari zina, tidak boleh tidak, zina kedua mata ialah memandang, zina lidah ialah perkataan, dan zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedang faraj (kemaluan) saja yang menentukan benar ataau tidaknya dia berbuat zina.” (Muattafaqun `Alaih)

Dari Jarir bin Abdillah z berkata : Saya bertanya kepada Rasulullah mengenai “pandangan yang tiba-tiba”, maka beliau bersabda :”Palingkan pandanganmu.”
( H.R. Muslim dan Abu Daud, lafadz hadits Abu Daud)

Maksudnya jika terpandang aurat secara tiba-tiba. Maka nabi mengarahkan agar sahabat berpaling. Kerana haram MENATAP AURAT WANITA atau WANITA MENATAP AURAT LELAKI. Ini bermakna, tidak boleh menatap kecantikan seseorang yang boleh mendatangkan rangsangan nafsu dan syahwat.

Dalam hadits lain, Rasulullah bersabda :

“Jangan kamu ikuti pandangan (pertama) itu dengan pandangan (berikutnya), pandangan pertama untukmu, dan tidak untuk yang pandangan kedua.” ( H.R. Tirmidzi dan Abu Daud, Tirmidzi dan AlBani menilai hadits ini hasan.)

Yang dimaksud dengan pandangan pertama adalah pandangan yang terlontar tanpa sengaja. Jadi, adakah mungkin orang bercouple tidak saling memandang? Adakah mungkin orang bercouple bila bercakap tutup mata? Sudah tentu mustahil. Bila bercinta akan saling menatap, memandang dan memerhati seluruh tubuh pasangan. Maka inilah DOSA. Ianya HARAM secara jelas.

2) COUPLE ITU HARAM KERANA BERSENTUH ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Biasanya orang bercinta, mula-mula sahaja duduk renggang. Bila sudah selalu bertemu, syaitan akan goda “Engkau ini sudah lama kenal, apa salahnya sentuh-sentuh dan pegang tangan. Semua orang buat macam tu bila bercinta. Barulah namanya pasangan kekasih” maka si lelaki mula buat2 tersentuh.

Kerana itu, Allah melarang mendekati couple sebab bila sudah selalu bersama. PASTI akan berpegang atau bersentuhan. Ingat! Menyentuh dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw:

Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. [HR At-Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921]

Daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada ibnu Majah menyatakan bahawa

“Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram”.

Bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa dan hanya perlu disuci (bukan bertaubat). Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat. Tetapi, menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.

“Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.
(Surah Zumar: 9)

3) COUPLE ITU HARAM KERANA TERPAKSA MENDENGAR SUARA WANITA YANG MENDAYU-DAYU

Bila bercinta, adalah pasti wanita dan lelaki akan berbicara. Dalam berbicara sudah pasti akan terselit nada mendayu dan perkataan yang lemah-lembut. Kerana itulah dinamakan percintaan. Orang bercouple tidak akan saling tengking menengking. Orang bercouple sudah pasti saling ketawa dan bersenda gurau. Jadi, apakah hukum suara wanita dalam bab bergurau, ketawa dan mendayu-dayu?

Mengikut Imam Syafie;

Suara wanita adalah aurat dihadapan lelaki2 yang ajnabi(Asing) samaada dikhuatiri terjadinya fitnah mahupun tidak.

Suara wanita tidak aurat sekiranya masih berada di dalam batasan yg digariskan. Suara Wanita yg bernada rendah/ mendesak/ merayu/ menggoda/ lembut terhadap ajnabi ataupun didengari oleh ajnabi ianya haram. HARAM bercakap dengan nada yang lembut.

Suara seseorang wanita ajnabiah ketika beliau berada berhampiran dengan lelaki ajnabi adalah Dianggap Sebagai Aurat Menurut Pendapat Yang Sahih. Oleh itu, seseorang wanita tidak dibolehkan mengucapkan tasbih di dalam sembahyang mereka ketika mereka menegur sesuatu perbuatan imam yang salah sebagaimana lelaki mengucapkan tasbih. Bahkan, seseorang wanita hanya memadai menepuk belakang tangannya. Begitulah seterusnya, seseorang wanita tidak dibolehkan meninggikan suaranya ketika mengucapkan talbiah semasa mereka berihram kecuali menurut kadar yang boleh didengar oleh teman wanitanya.

Firman Allah SWT dalam

Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud, "Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan."

1) Imam Ibnu Jarir at-Tabari RA dalam tafsirnya mengatakan, seseorang perempuan itu janganlah melembutkan suaranya kepada seseorang lelaki yang boleh mendorong orang yang mempunyai niat tidak baik melakukan perbuatan serong kepada perempuan itu. Kemudian, beliau menukilkan hadis dengan sanad yang bersambung kepada Ibnu Abbas RA berkata,

"Seseorang perempuan janganlah menurunkan nada bicaranya dan melembutkan ungkapannya."

Beliau juga menukilkan hadis yang sanadnya bersambung kepada Ibnu Zaid berkata,

"Menundukkan suara ialah suara yang dibenci Allah yang diluahkan oleh seseorang perempuan kepada lelaki ajnabi, yang boleh menusuk ke dalam jiwa lelaki."

Perkataan yang makruf ialah ungkapan yang sopan, baik dan terkenal dengan kebaikan.

2) Imam Qadhi Abu Bakar ibnu al-Arabi berkata di dalam kitabnya Akamul Qur'an mengenai firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar ungkapannya keras dan perkataannya terbatas. Tidak boleh menurutkan gaya perbicaraan di dalam hati dihubungkan dengan apa yang diluahkan menggunakan suara lembut, di mana pendengar lelaki boleh berkeinginan untuk berbicara lebih panjang. Seseorang sewajarnya memulakan bicaranya dengan baik dan keras. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan perkataannya. Dimaksudkan dengan makruf ialah dikembalikan kepada syarak menurut apa yang diperintahkan untuk menyampaikannya atau sekadar hajat yang diperlukan oleh manusia.

3) Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya al-Jamik Li Ahkam al-Qur'an, "seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya. Allah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar perkataannya keras dan perkataannya terbatas. Mereka tidak boleh meluahkan bicaranya menurutkan gaya seperti yang ada di dalam hatinya yang lembut. Sebagaimana halnya perempuan Arab yang bercakap dengan orang lelaki menggunakan suara yang halus dan lembut seperti ungkapan orang yang meragukan dan menggodakan. Syarak melarang perempuan melakukan seperti itu. Ibnu Abbas berkata, seseorang perempuan hendaklah menyuruh perkara kebaikan dan melarang perkara kejahatan. Seseorang perempuan, bila bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi, begitu juga dengan lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan melalui persemendaan dengannya seperti suami saudara perempuannya (ipar lelaki) dan sepupu lelaki, hendaklah mengeraskan perkataannya tanpa mengangkat suaranya. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan suaranya. Oleh itu, ungkapan yang makruf ialah perkataan yang tidak diingkari oleh syarak dan jiwa."

4) Imam Abu Bakar ar-Razi yang dikenali dengan al-Jasas berkata di dalam kitabnya Ahkam al-Qur'an, seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya kepada lelaki-lelaki ajnabi dengan gaya yang boleh diingini oleh lelaki yang meragukan niatnya. Ini menunjukkan bahawa hukum itu diumumkan kepada semua perempuan dalam tegahannya berbicara dengan lelaki ajnabi. Adalah lebih baik, seseorang perempuan tidak mengangkat suaranya yang boleh didengari oleh lelaki ajnabi.

5) Imam Ibnu Kathir berkata di dalam tafsirnya, menukilkan perkataan as-Sudi, maksud firman Allah Taala, seseorang perempuan tidak boleh menundukkan suarannya ialah menggunakan suara yang halus, lembut dan lunak ketika berbicara dengan lelaki ajnabi.

Ibnu Zaid berkata, perkataan baik, sopan dan terkenal dengan kebaikan bermakna seseorang perempuan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi tidak menggunakan perkataan yang halus dan merdu, iaitu seseorang perempuan tidak berbicara dengan lelaki ajnabi seperti dia berbicara dengan suaminya.

Suka diterangkan disini,perbualan ini tk terhad kepada telefon memandangkan dunia yg semakin canggih.justeru,voice chat,tele-conference,cellphones etc termasuk dlm kategori yg sama. Pesanan, kalau tiada hal yang benar-benar mustahak, tak perlulah berurusan dengan cara yang boleh menimbulkan fitnah dan zina dari segenap aspek.

Orang yang mengatakan tiada nas yang melarang couple atau bercinta itu sebenarnya adalah orang-orang yang JAHIL dan FASIQ. Dia enggan mencari kebenaran, sebaliknya memberi alasan apabila ada pihak yang menasihati.

Maka, secara jelasnya. TIADA JALAN BERCOUPLE DALAM ISLAM. MELAINKAN KAHWIN SAHAJA. KAHWIN ADALAH COUPLE YANG SUCI DAN HALAL.


.:: Haramnya ROKOK ::.

Merokok Dari Pandangan Islam

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
 
Keterangan/Hujah: 
 

1.  Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
 
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
 
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.
 
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
 
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
 
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
 
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
 
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
 
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
 
d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
 
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
 
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
 
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
 
Antaranya seperti berikut:
 
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
 
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
 
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
 
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
 
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
 
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

60 Tahun : Syabas PAS Kerana Terus Mempertahankan Islam

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi bin Hj. Salleh mengucapkan syabas kepada kepimpinan PAS kerana terus mempertahankan prinsip perjuangan Islam dalam semangat toleransi Islam di negara ini sejak tertubuhnya parti itu 60 tahun yang lalu.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini politik tanahair yang menyaksikan PAS terus unggul jauh mendahului Umno dalam membela isu-isu Islam di Malaysia. Isu yang terkini ialah berkenaan perlaksanaan enakmen Syariah Hudud yang berakhir dengan persetujuan pihak anggota Parti Pakatan Rakyat memperakui enakmen Undang-undang Hudud Kelantan dan Terengganu dalam semangat meraikan perbezaan pandangan sesama anggota pakatan.

“Dewan Ulamak PAS Pusat ingin merakamkan ucapan syabas kepada Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden yang memimpin PAS selama ini atas usaha yang tidak putus-putus memperkenalkan Islam sehinggakan Undang-Undang Syariah Islam terutamanya Hudud dikenali di Malaysia bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan juga turut dikenali oleh bukan Islam, bahkan kita juga mendapati terdapat sebahagian daripada mereka turut menyokong perlaksanaan hudud” tambah beliau lagi.

“Kita berharap seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam agar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha murni PAS ini, kami percaya bahawa pendirian yang konsisten dan tegas PAS ini dalam mempertahankan prinsip Islam akan terus mendapat sokongan dan dokongan seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam”ujar beliau lagi.

60 Tahun: PAS semakin diyakini semua rakyat

PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.
Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.
"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.
"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.
Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.
"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.
Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.
Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.
Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.
Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.
"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.
Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.
Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.
Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.
Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.